AGENSI pekerjaan My Local Maid Services Sdn Bhd (MLMS) memperkenalkan laman web terbaharu, 'niinii' yang memberi perkhidmatan pembantu rumah secara separuh masa dengan harga lebih murah berbanding tenaga warga asing.
Pengarah syarikat, Wan Roslan Wan Othman berkata, idea tercetus membangunkan platform itu susulan terdapat banyak kes scammer cuci rumah dilapor beberapa bulan lalu.
"Niinii ini bermaksud pembantu rumah dari bahasa Tagalog dan berdaftar secara sah dengan tawaran awam permulaan (IPO). Agensi ini memang mendaftar dengan kerajaan Malaysia melalui Jabatan Tenaga Kerja serta mempunyai lesen.
"Sejak kita lancarkan pada September dan Oktober, seramai 2,000 wanita yang mendaftar (pembantu rumah) di seluruh Semenjung termasuk Sabah dan Sarawak," ditemui di Sinar Karangkraf, di sini pada Jumaat.
Ulas Wan Roslan, individu atau pihak yang mahu menempah menempah pembantu rumah kini hanya di hujung jari dan tidak perlu mengambil masa lama.
"Majikan boleh menempah pembantu rumah mengikut tarikh mereka dalam tempoh 24 jam, dan sekiranya tidak berpuas hati atau nak tukar tarikh, boleh dan wang mereka tak hilang.
"Kedua, jika membatalkan tempahan, individu itu boleh minta wang dikembalikan. Kita akan bayar balik kerana agensi ini berintegriti, ada kontrak dan mengikut undang-undang," jelasnya.
Tambah beliau, pihaknya akan melakukan pemilihan pekerja dengan teliti bagi memastikan tugasan yang dilakukan memenuhi kehendak pelanggan.
"Pembantu rumah akan melalui proses pemilihan yang ketat dan kemudian mereka diberikan alat dan malam sebelum itu akan diberikan penerangan termasuk majikan secara atas talian.
"Nanti apabila tugasan bermula majikan akan diberikan pengesahan satu jam atau sehari sebelum identiti pembantu rumah. Ketika pembantu rumah mulakan kerja, terus 'real-time' direkodkan jadi majikan boleh minta untuk tengok sekiranya berada luar kawasan," ujarnya.