Serangan peribadi tanpa asas: Akmal Nasrullah

Iklan
Ciapan di Twitter mengenai sampul berisi wang yang diberikan Akmal Nasrulllah.

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Penyandang kerusi Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyifatkan ciapan di Twitter berkaitan dirinya yang didakwa memberikan sampul dengan logo parti berisi wang sebagai serangan peribadi tanpa asas.

"Bagi saya, ia merupakan serangan peribadi tanpa asas; lagipun saya bertanding kali ini menggunakan logo Harapan,” katanya pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Sementara itu mengulas mengenai Pilihan Raya Umun ke-15 (PRU15), Akmal Nasrullah berkata, pihaknya menjangkakan sesuatu yang berbeza bagi saingan empat penjuru bagi Parlimen Johor Bahru.

Bagaimanapun katanya, apa yang penting bukanlah mengenai soal menang atau kalah, tetapi isu rakyat dilihat lebih utama untuk diperjuangkan.

Iklan

"Seperti saya kata sebelum ini, kita akan fokus tiga isu melibatkan ekonomi, kos sara hidup dengan menumpukan isu perumahan, rasuah dan golongan remaja.

"Saya sebenarnya merancang mahu ‘meremajakan’ bandar raya Johor Bahru dalam usaha mengurangkan penghijrahan golongan muda dari negeri ini ke Kuala Lumpur mahupun Singapura terutamanya untuk bekerja.

Iklan

"Kita juga merancang untuk memperkasakan bandar raya ini (Johor Bahru), agar ia menjadi sebagai antara lokasi pilihan kepada anak-anak muda ini kerana kalau kita tengok, memang ramai yang berhijrah ke Kuala Lumpur, Singapura. Oleh itu, kita mahu jadikan Johor Bahru ini sebagai ‘pilihan’ mereka pula selepas ini,” katanya.

Pada PRU15, Parlimen Johor Bahru menyaksikan saingan empat penjuru antara Akmal Nasrullah, Johan Arifin Mohd Ropi (BN-UMNO), Mohtaj Yaacob (PN-Bersatu) dan Mohd Akhiri Mahmood (GTA-Pejuang).