Pekerja kedai kosmetik cemas diacu pisau

Iklan
Gambar hiasan 123rf

DUNGUN - Seorang pekerja kedai kosmetik, Nurul Farisya Muhamad, 26, berdepan detik cemas apabila diugut dan diacu dengan sebilah pisau dalam satu kejadian rompakan di Jalan Pak Sabah, pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, mangsa yang sendirian menjaga kedai itu terkejut apabila didatangi seorang lelaki bersenjatakan pisau dan secara tiba-tiba meluru masuk.

Iklan
Iklan

Pemilik kedai, Siti Julaiha Muhamad, 32, berkata, ketika kejadian dia berada di luar kawasan dan dikejutkan dengan panggilan telefon oleh penjaga kedai yang juga adiknya.

"Dia telefon dengan suara tersekat-sekat memberitahu diacu pisau di hadapan muka dan telah dirompak.

Iklan

"Kerugian dalam ratusan ringgit tetapi tidak pasti berapa dan kami bernasib baik kerana semalam wang hasil jualan lain sudah dikutip serta adik tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Katanya, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian itu, dia menghubungi pihak polis sebelum mangsa membuat laporan.

Iklan

"Kejadian ini kali pertama berlaku sepanjang bertahun-tahun meniaga di sini.

"Kamera litar tertutup (CCTV) sedang diperiksa untuk diserahkan kepada pihak polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.