IPOH - Pakatan Harapan (PH) beri jaminan bahawa DAP tidak akan menguasai gabungan parti itu sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa DAP merupakan rakan parti yang setia serta menghormati prinsip dan Perlembagaan negara.
Menurut Anwar, beliau mahu membawa politik baharu sekali gus menjadi pemimpin yang mewakili semua kaum.
"Saya ditanya kebimbangan DAP menguasai kerajaan nanti, pertama yang menjadi ketua pada 20 November nanti sekiranya menang bukanlah Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) tetapi Anwar Ibrahim.
"Ini peluang terbaik kita buat politik baru, betul Melayu penting tapi kita nak buat politik baru supaya betul-betul orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan betul-betul solid, bina negara ini sebagai pasukan bersama yang sayang dan tolong satu sama lain.
"Negara ini kaya dan saya kalau memimpin, saya pemimpin kepada semua rakyat. Itu jawapan saya. Jangan bimbang, DAP ini rakan kita yang setia dan mereka terima prinsip ini," katanya ketika berucap pada program Penyertaan Bekas Ahli MIC dan Ramah Mesra Masyarakat India di Ulu Kinta di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Naib Pengerusi DAP Perak, M Kula Segaran dan Naib Pengerusi PKR Perak, Muhammad Arafat Varisai Mahamad.
Anwar turut menyangkal dakwaan kononnya beliau menjadi 'alat' kepada DAP.
"Saya harap kempen biar sihat dan waras, ini pendirian saya, saya tetap orang Melayu dan beragama Islam tetapi saya tidak bersetuju hina mana-mana kaum semata-mata kepentingan politik," katanya.