KELANTAN FC melaungkan tekad tidak mahu sekadar berpuas hati setelah merealisasikan misi mara ke suku akhir Piala Malaysia 2022.
Sebaliknya, The Red Warriors (TRW) itu mahu melangkah lebih jauh bermula dengan melakukan kejutan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, pada Sabtu.
Malah, pengendali Kelantan, Rezal Zambery Yahya percaya tidak mustahil untuk jagoan Pantai Timur itu menewaskan Harimau Selatan jika pemainnya menampilkan aksi terbaik pada perlawanan tersebut.
"Tahun lepas kami menentang JDT di peringkat kumpulan Piala Malaysia, kami tewas 0-2 di Stadium Sultan Ibrahim, kemudian tewas 0-4 di Stadium Sultan Muhammad IV.
"Dengan situasi berbeza tahun ini, kami tahu ramai penyokong yang akan ke stadium.
"Jadi, saya harap stadium akan dipenuhi oleh penyokong Kelantan FC bagi menyuntik lagi semangat para pemain,” katanya.
Kedua-dua pasukan sebelum ini pernah bertemu dalam empat perlawanan Liga Super antara 2017 dan 2018, dengan JDT memenangi kesemua empat perlawanan menerusi keputusan 4-0, 2-1, 3-0 dan 3-2.
Kali terakhir kedua-dua pasukan itu bertemu adalah pada peringkat kumpulan Piala Malaysia 2021. Kelantan gagal mara, manakala JDT melangkah ke suku akhir sebagai juara Kumpulan D.
Sementara itu, pengendali JDT, Hector Bidoglio mengakui tidak akan mengambil mudah cabaran yang akan diberikan oleh naib juara Liga Premier tersebut.
Sebaliknya, Bidoglio menyifatkan anak buah Rezal Zambery mampu untuk meranapkan impian Harimau Selatan bagi meraih satu lagi kejuaraan musim ini.
"Kami perlu beri fokus yang lebih kepada cara kami bermain. Ini kerana kami jangkakan aksi ini mungkin sengit kerana kami akan menentang pasukan hebat.
"Mereka perlu lebih laju dan tajam ketika di depan gol. Jika mereka boleh lakukannya, saya tidak melihat ia akan jadi satu masalah untuk kami mara ke peringkat seterusnya,” katanya.
PIALA MALAYSIA
Suku Akhir Pertama
SABTU (5 NOVEMBER)
Kuching City FC lwn Sabah FC
(Stdm Negeri, 8.15 malam)
Kelantan FC lwn JDT
(Stdm Sultan Muhammad IV, 9 malam)
AHAD (6 NOVEMBER)
Selangor FC lwn Negeri Sembilan FC
(Stdm Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 9 malam)
Kuala Lumpur City lwn Terengganu FC
(Stdm Bola Sepak Kuala Lumpur, 9 malam)