MARAN - Hujan renyai-renyai tidak menghalang seorang warga emas, Wan Zainuyah Abd Majid, 80, hadir memberikan sokongan terhadap anaknya, Mohd Afandi Abd Rani calon dari Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan diri bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Luit di Parlimen Maran.
Wan Zainuyah bertolak jam 7 pagi dari Kuantan bersama tujuh anak serta ahli keluarga lain dan tiba di pusat penamaan calon Dewan Jubli Sultan Haji Amad Shah di sini pada jam 8.30 pagi pada Sabtu.
Iklan
Iklan
Ketika ditemui Sinar Harian, warga emas itu bersemangat dan ceria walaupun datang dengan kerusi roda di pusat penamaan calon tersebut bersama penyokong PH.
"Insya-ALLAH saya menaruh harapan tinggi terhadap anak (Affandi) dan mendoakan kejayaannya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
"Moga perjuangannya untuk membela rakyat tercapai dan kami sekeluarga memberikan sokongan penuh terhadap pilihannya untuk bertanding," katanya lagi.
Sementara itu isteri Afandi, Nor Wahida Mustafar, 58, turut hadir memberikan sokongan bersama seorang anaknya di PPC terbabit.
"Moga segala urusan suami saya berjalan lancar dan sekali gus mendoakan kejayaan suami di DUN Luit," jelas Nor Wahida.