KLANG - Lebih 300 anggota dan pegawai polis ditempatkan di sekitar Dewan Hamzah, Majlis Perbandaran Klang di sini bagi menjalankan pemantauan dan kawalan keselamatan sepanjang proses penamaan calon bagi P 110 Klang pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hong Foong berkata, pemantauan dijalankan pihaknya seawal jam 6 pagi.
"Setakat ini kita lihat suasana yang harmoni antara penyokong-penyokong terlibat dan kita harap suasana ini akan kekal sepanjang tempoh penamaan calon ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui di Dewan Hamzah, Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada Sabtu.
Katanya, penugasan turut melibatkan kawalan lalu lintas di sekitar lokasi penamaan calon di sini.
"Kawasan ini antara yang sesak, namun memandangkan hari minggu dan dengan anggota trafik yang mengawal lalu lintas seawal pagi, kesesakan berjaya diatasi dan berjalan lancar," katanya.
Pada Jumaat, Pengarah Operasi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, seramai 31,183 petugas bersiap siaga untuk digerakkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan memastikan keselamatan dan ketenteraman terkawal pada hari penamaan calon di semua lokasi terlibat pada Sabtu.