KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Akibat tersalah tandatangan ruangan dalam borang, calon Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berdepan dengan detik cemas apabila terpaksa mengambil masa yang lama berbanding calon-calon lain ketika dalam proses pendaftaran penamaan calon Parlimen Titiwangsa pada Sabtu.
Difahamkan, kesalahan pada borang kerahsiaan calon itu memerlukan calon untuk mengisi semula borang baharu dan diserahkan kepada pihak pengurusan pilihan raya yang bertugas.
Situasi tersebut menyebabkan penyokong kepada Khairuddin, Radzmil Azhar Ridwan itu terpaksa bergegas keluar untuk mengambil salinan borang baharu berkenaan di kenderaan mereka.
Bagaimanapun, salah seorang pegawai pengurus pilihan raya membenarkan Khairuddin bersama pencadangnya, Abdul Hakim Hafizi Hamizan masuk dan menunggu dalam dewan berkenaan sehingga borang baru tersebut sampai.
Kebiasaannya calon perlu menyerahkan borang-borang yang diperlukan di kaunter pendaftaran dan kemudiannya melalui proses semakan di kaunter seterusnya.
Khairuddin antara yang terawal sampai selepas calon PN, Dr Rosni Adam di pekarangan Dewan Bestari Aminuddin Baki, Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki bagi proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu pada jam 8.40 pagi.
Selepas itu, diikuti calon BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang tiba pada jam 8.55 pagi manakala calon PH, Khalid Abd Samad pula pada jam 9 pagi.