MARANG - Kira-kira 1,300 penyokong calon Pas dan BN sanggup bermandi hujan di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Marang sementara menunggu proses penamaan calon selesai pada pagi Sabtu.
Kebanyakan daripada mereka tiba seawal jam 7 pagi untuk membuat persediaan mengiringi calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November nanti.
Kawasan Parlimen itu bakal mengalami pertembungan empat penjuru di mana penyandangnya iaitu Tan Sri Abdul Hadi Awang dari Pas akan bertemu calon import Pakatan Harapan (PH) iaitu Azhar Ab Shukur dari parti Amanah; calon dari UMNO, Jasmira Othman yang mewakili Barisan Nasional (BN), dan calon dari Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) iaitu Dr Zarawi Sulong mewakili Pejuang.
Sehingga jam 10 pagi ini, empat calon Parlimen itu tiba di Pusat Penamaan Calon itu iaitu calon BN, (Jasmira Othman) tiba seawal jam 8.25 pagi sebelum disusuli calon Pejuang, (Dr Zarawi Sulong) pada jam 8.35 pagi.
Calon Pakatan Harapan (Azhar Ab Shukur) tiba di pekarangan pusat penamaan calon berkenaan jam 8.45 pagi selang tiga minit sebelum ketibaan Abdul Hadi pada jam 8.48 pagi.
Pada PRU14 lalu, Abdul Hadi yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Marang memperoleh 53,749 undi dengan majoriti 21,954 menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endot (31,795 undi) dan calon PH, Zarawi Sulong (5,138 undi).