SHAH ALAM - Kerusi Parlimen P111 Kota Raja menyaksikan pertandingan lapan penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Penyandang kerusi tersebut, Mohamad Sabu dari Pakatan Harapan (PH) yang turut dicalonkan semula dicabar oleh calon Perikatan Nasional (PN), Mohamed Diah Baharun; Gerakan Tanah Air (GTA), Fahmi Bazlan Muda dan Barisan Nasional (BN), Kajendran Doraisamy.
Satu-satunya calon wanita di Parlimen Kota Raja, Sarah Atiqah Zainal Arif mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Selain itu, tiga calon bebas turut bertanding kali ini iaitu Kumar Kararanedi, P Raveentharan Periasamy dan Surendhar Selvaraju.
Pengumuman rasmi senarai calon itu dilakukan Pengarah Pengurus Pilihan Raya Bahagian Kota Raja, Mohd Rashidi Ruslan di Dewan MBSA Kemuning Utama, dekat sini, hari ini.
Kira-kira 800 penyokong parti bertanding berkumpul di hadapan dewan itu sejak jam 8 pagi tadi.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mohamad memenangi Parlimen Kota Raja dengan majoriti 71,142 undi. Beliau yang memperoleh 90,697 undi menewaskan calon Pas, Mohamed Diah Harun (19,555) dan calon BN, V Gunalan (17,874).