PASIR PUTEH - Walaupun berkerusi roda, namun tidak menghalang seorang warga emas untuk sama-sama penyokong lain mengiringi calon pilihan mereka sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan Majlis Daerah Pasir Puteh pada Sabtu.
Tuan Noria Tuan Yaakob, 70, berkata, setiap kali berlangsungnya Pilihan Raya Umum (PRU), dia pasti merebut peluang untuk hadir memberikan sokongan.
"Hari ini, saya tetap hadir walaupun berkerusi roda. Saya rasa tidak puas hati kalau tidak hadir. Walaupun uzur tetap hendak datang," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Tuan Noria yang menetap di Kampung Tualang Tinggi itu hadir bersama suaminya, Mohd Awang Teh,75 selain beberapa anaknya.
"Dari malam tadi, saya sudah beritahu suami mahu mengikutnya mengiringi calon," katanya.
Menurut Tuan Noria, dia juga menempah nasi dagang untuk diagihkan kepada penyokong yang hadir sementara menunggu proses penamaan calon selesai.
Parlimen Pasir Puteh menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan Perikatan Nasional (PN) diwakili penyandang, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pas), Datuk Zawawi Othman (BN), Muhammad Hussain (PH) dan GTA diwakili Wan Marzudi Wan Omar.