JOHOR BAHRU - Seorang wanita direman sehari bagi membantu siasatan kematian seorang bayi berusia empat bulan akibat tersedak susu semasa dalam jagaannya, kelmarin.
Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret, Nur Hidayah Abd Manaf.
Wanita terbabit berusia 39 tahun yang juga pengasuh kepada bayi berkenaan, tiba di Bilik Reman Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini sekitar jam 11 pagi tadi.
Pengasuh terbabit ditahan di kediamannya di Kampung Melayu Majidee, di sini sekitar jam 4.15 petang.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais memaklumkan hasil bedah siasat dijalankan oleh Dr Vimal Nambiar di Jabatan Forensik Hospital Sultananah Aminah (HSA) ke atas bayi itu mendapati punca kematian disebabkan tersedak susu.