IPOH - Bacaan selawat dan laungan takbir mengiringi calon-calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di kerusi Parlimen Tambun, Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi dan DUN Hulu Kinta sempena hari penamaan calon di sini pada Sabtu.
Calon kerusi Parlimen PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama calon DUN Manjoi, Hafez Sabri dan calon DUN Hulu Kinta, Puteri Holijah Muhamad Rali diarak oleh penyokong yang hadir seawal jam 8.15 pagi sebelum memasuki pusat penamaan calon di Institut Latihan Perindustrian Ipoh di sini.
Ahmad Faizal yang juga penyandang kerusi Parlimen itu berkata, perjalanan hari penamaan calon lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Menurutnya, semua calon yang bertanding juga menunjukkan kematangan politik masing-masing ketika berada di dalam pusat penamaan calon.
"Masing-masing ada peluang yang adil maka saya fikir terpulang kepada kami menjalankan kempen. Saya harap ia dapat dijalankan dengan baik penuh berhemah," katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di sini pada Sabtu.
Ahmad Faizal dalam pada itu yakin calon tempatan mempunyai kelebihan di kerusi Parlimen tersebut walaupun calon dari luar mempunyai nama besar yang dikenali.
Menurutnya, pengundi di Tambun lebih menginginkan perkhidmatan daripada orang yang mereka kenali, mudah didekati serta senang mengadu permasalahan dan sebagainya.
Kerusi Parlimen Tambun menyaksikan pertembungan empat penjuru pada pilihan raya kali ini.
Ahmad Faizal akan menentang calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim; calon BN, Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Abdul Rahim Tahir.