KLUANG - Penyandang Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Sabtu mengajak tiga calon dari BN, Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) berdebat sebelum hari pengundian pada 19 November.
Maszlee berkata, perdebatan secara terbuka itu secara dasarnya telah dipersetujui oleh calon iaitu Datuk Seri Hasni Mohammad (BN), Mohd Fazrul Kamat (PN) dan Kamal Kusmin (GTA).
Menurutnya, debat tersebut diadakan bagi membincangkan isu-isu nasional dan tempatan di kawasan Parlimen Simpang Renggam.
"Perdebatan secara terbuka ini bertujuan mendidik rakyat bukan sekadar mengundi berdasarkan sentimen tetapi mereka perlu didedahkan dengan unsur politik matang dan berpendidikan dan demokrasi yang tulen.
"Oleh itu, saya harap kepada semua calon tidak menarik diri di saat akhir daripada menyertai perdebatan," katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon PRU15 Parlimen Simpang Renggam di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam di sini pada Sabtu.
Sementara itu Mohd Fazrul Kamat (PN) dan Kamal Kusmin (GTA) ketika ditanya mengenai perdebatan itu menyambut baik perkara tersebut dan akan mempertimbangkannya.