Calon Bebas harap tuah di Parlimen Balik Pulau

Iklan
Parlimen Balik Pulau menyaksikan pertarungan enam penjuru melibatkan dua calon Bebas dan satu masing-masing dari PH, BN, Pejuang dan PN.

BALIK PULAU - Calon Bebas, Datuk Seri Johnny Ch'ng Ewe Gee berharap agar pilihan ibunya, Chua Baby agar bertanding di Parlimen Balik Pulau akan diberkati sekali gus memberi kemenangan kepadanya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Johnny Ch'ng yang berusia 50 tahun itu berkata, beliau pada mulanya mempunyai dua pilihan sama ada bertanding di Parlimen Bayan Baru atau Parlimen Balik Pulau.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun kata ahli perniagaan itu, keputusan untuk bertanding di Balik Pulau hanya diputuskan pada malam Jumaat selepas ibunya menyatakan keinginannya untuk melihat beliau bertanding di situ.

Johnny

"Saya ada dua pilihan tetapi memandangkan ratu hati saya meminta saya bertanding di Balik Pulau, maka saya turuti sahaja.

Iklan

"Saya yakin, dengan restu ibu, ia akan memberi tuah kepada saya. Keputusan untuk bertanding di Balik Pulau dibuat pada semalam," katanya ketika ditemui di pekarangan Politeknik Balik Pulau di sini pada Sabtu.

Anak jati Sungai Pinang, Balik Pulau itu berkata, beliau akan memperkenalkan agro pelancongan di Balik Pulau sekiranya diberi peluang untuk menjadi ahli Parlimen di kawasan tersebut.

Iklan

"Saya minat dalam pertanian dan akan bawa banyak pelaburan dalam agro pelancongan ke sini, tambahan pula kawasan Balik Pulau ini berpotensi untuk menjalankan pertanian berunsurkan agro pelancongan.

"Saya ramai kenalan yang terdiri daripada pelabur dari negara luar antaranya China dan Indonesia. Dari sudut perikanan pula, saya bercadang akan membawa penternakan udang istimewa berteknologi tinggi ke Balik Pulau. Dengan adanya semua ini, ia memberi peluang kepada anak muda untuk menceburkan diri dalam bidang ini," katanya.

Parlimen Balik Pulau menyaksikan pertandingan enam penjuru dengan dua calon Bebas iaitu Datuk Sabaruddin Ahmad dan Johnny Ch'ng yang akan bertanding dalam pilihan raya kali ini.

Empat calon lagi adalah Datuk Mohamad Bakhtiar Wan Chik (PH-PKR), Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN-UMNO), Mohd Harris Idaham Mohd Rashid (PN-Bersatu) dan Ahmad Fazli Mohammad (GTA-Pejuang).

Kesemua calon tersebut disahkan penyertaan mereka oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya, Mohd Hafiz Aswad Nadzri di pekarangan Politeknik Balik Pulau pada jam 11.05 pagi.

Pengerusi PKR Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar yang merupakan penyandang kerusi itu pada PRU-14 lalu berkata, saingan enam penjuru di Parlimen Balik Pulau itu menunjukkan proses demokrasi di negara ini berjalan lancar dan ia perlu dihormati semua pihak.

"Berapa penjuru pun kita kena hormati dan saya bersyukur kerana proses penamaan calon berjalan lancar.

"Dengan prestasi dan rekod baik sebagai ahli Parlimen di sini sebelum ini, saya harap pengundi dapat menilai kerja-kerja serta pembangunan infrastruktur yang telah saya lakukan di sini," katanya.

Dalam pada itu, Shah Headan berkata, kesemua calon yang bertanding mempunyai harapan untuk menang di kerusi Parlimen tersebut.

"Walaupun BN kalah pada PRU14 lalu, kita tetap menjalankan kerja-kerja untuk rakyat dan saya berharap pengundi akan memberi peluang kepada kita.

"Semua yang bertanding kali ini menaruh harapan, kita susah juga nak buat analisa sebab masing-masing ada penyokong. Bagaimanapun, saya berharap pengundi akan memberi semula mandat kepada BN," katanya.

Sementara itu, hujan lebat di Balik Pulau bermula jam 7.30 pagi tidak menghalang kira-kira 1,000 penyokong parti masing-masing untuk berkumpul bagi memberi semangat kepada calon mereka di kawasan yang ditetapkan oleh pihak polis.

Bagaimanapun, tiada insiden tidak diingini berlaku antara penyokong kerana setiap parti mengamalkan disiplin yang tinggi ketika berkumpul selain penjagaan rapi oleh anggota dan pegawai polis yang bertugas.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Balik Pulau dimenangi Muhammad Bakhtiar (PH) dengan majoriti 6,464 undi selepas mendapat 25,471 undi menewaskan dua pencabarnya, Datuk Seri Hilmi Yahaya (BN) yang memperoleh undi sebanyak 19,007 manakala calon Pas, Muhammad Imran Muhamad Saad mendapat 5,298 undi.

Untuk rekod, sebelum menjadi kerusi Parlimen yang dimiliki PH, kerusi Parlimen Balik Pulau juga pernah dimenangi BN pada PRU-13 di mana Hilmi berjaya memperoleh 22,318 undi mengatasi Muhammad Bakhtiar (PKR) yang mendapat 20,779 undi.