SIK - Dua calon wanita akan berentap berebut kerusi Parlimen Sik daripada penyandang kerusi itu, Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November ini.
Antaranya mantan pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Latipah Md Yatim (PH) dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Sik, Maizatulakmam Othman (BN).
Latipah yang pernah berkhidmat di beberapa buah negeri antaranya Sabah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur berjanji akan membawa perubahan kepada penduduk Sik termasuk membangunkan Tasik Beris sebagai lokasi pelancongan.
Selain itu, Maizatulakmam berkata, dengan sokongan yang diberikan UMNO Bahagian Sik tanpa berbelah bahagi termasuk Ketuanya, Datuk Tajuddin Abdullah, yang sama-sama turun padang, beliau yakin bahawa BN mampu merampas kembali kerusi Sik.
Biarpun dicabar dua wanita, Ahmad Tarmizi optimis sokongan rakyat terhadap PN masih kuat memandangkan lebih empat tahun menyantuni mereka.
Menurutnya, kehadiran ribuan penyokong pada proses penamaan calon, menambah keyakinan bahawa kerusi itu mampu dimenangi seterusnya membentuk kerajaan PN.
"Terima kasih kepada ribuan penyokong terutama kehadiran istimewa Pengerusi PN merangkap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan tuan guru dari beberapa buah pondok sekitar daerah ini yang turut sama-sama menyertai perarakan sehingga ke pusat penamaan calon,"katanya.
Perarakan yang disertai kira-kira 3,000 penyokong PN turut disertai laungan selawat dan takbir di sepanjang laluan pekan Sik bermula dari Pondok Tok Guru Haji Salleh sehingga ke Pusat Penamaan Calon Parlimen Sik.
Pada PRU14, Ahmad Tarmizi (penyandang) yang merupakan Timbalan Yang Dipertua Pas Sik telah menang dengan majoriti 5,218 undi.
Turut bertanding ketika itu, Mansor Abd Rahman (BN) dengan jumlah undi diperolehi sebanyak 14,870, Azli Uda (PH) sebanyak 6,970 undi dan Ahmad Tarmizi 20,088 undi.
Berdasarkan rekod, seramai 63,165 pengundi layak mengundi di Parlimen Sik pada PRU15 dengan jumlah 58,458 pengundi Melayu, 911 pengundi Cina, 88 pengundi India dan 3,616 pengundi lain-lain.