Rafizi bersikap terbuka isu Tian Chua tanding di Batu

Iklan
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli menyatakan bahawa beliau menerima dengan hati terbuka tindakan bekas Naib Presiden parti itu, Tian Chua untuk bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Batu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

Beliau berkata, keputusan Tian Chua bagi bertanding di kawasan tersebut sudah pun diketahuinya lebih awal sehari sebelum hari penamaan calon yang berlangsung di seluruh negara pada Sabtu.

Iklan
Iklan

"Malah Tian Chua ada menghantar mesej kepada saya semalam menyatakan bahawa dia akan bertanding sebagai calon Bebas di Batu, Jadi seperti yang saya sebutkan, proses demokrasi ini baik.

"Masing-masing ada hak dan itu hak Tian Chua untuk bertanding di Batu,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Bilik Gerakan Utamanya bagi Parlimen Pandan, di Taman Seraya, di sini, pada Sabtu.

Iklan

Tindakan Tian Chua mencalonkan dirinya di Parlimen Batu sekali gus menyaksikan beliau bakal bertembung dengan calon diletakkan Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 kali ini, iaitu P Prabakaran yang merupakan penyandang kerusi tersebut.

Pertandingan di Parlimen Batu pada pilihan raya kali ini menyaksikan persaingan sehingga 10 penjuru.

Iklan

Rafizi berkata, beliau berpandangan keputusan diambil Tian Chua dapat memeriahkan lagi semangat demokrasi dan memberikan kepelbagaian dalam tawaran kepada pengundi di dalam negara.

"Saya rasa Tian Chua hantar mesej menyatakan hasrat untuk dia bertanding dan meminta supaya kawan-kawan lama lama memahami bahawa ini masa dia untuk dia mencuba jalan baharu.

"Tetapi dia kata komitmen dia kepada reformasi dan sebagainya itu tetap sama, jalan mungkin berbeza tetapi haluan tetap sama,” ujarnya.

Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR itu menambah, perkembangan itu diharapkan dapat memberikan lebih motivasi kepada calon parti itu yang bertanding di kawasan berkenaan untuk lebih bekerja keras bagi mempertahankan kerusi tersebut.

Katanya, jentera PKR juga diingatkan supaya berkempen dengan semangat yang positif dan mengelak untuk melakukan sebarang serangan peribadi.

"Saya sendiri adalah Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, jadi di bawah tanggungjawab saya, saya akan memastikan bahawa kempen PKR di Batu dan kempen PH tertumpu kepada soal rakyat dan jangan masuk soal peribadi. Yang lepas itu lepaslah,” jelas beliau.

Mengulas mengenai status keahlian Tian Chua, Rafizi berkata, ia akan dibincangkan parti itu dan melalui proses yang sepatutnya dilaksanakan selepas PRU15 selesai.

Katanya, ini kerana mesyuarat pimpinan pusat parti yang diadakan pada Ogos lalu bersetuju untuk menggantung sebarang prosiding lembaga tatatertib untuk memberi fokus kepada pilihan raya.

Pada masa sama, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan berasingan pada Sabtu menyatakan tindakan Tian Chua bertanding sebagai calon Bebas dan menentang calon parti sendiri telah secara automatik menyebabkan kepada pemecatannya.

Tian Chua pernah menjadi Ahli Parlimen Batu selama dua penggal bermula tahun 2008 sehingga 2018.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mencalonkan dirinya pada PRU14 lalu ekoran sabitan satu kes mahkamah pada 2013.

Namun, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada tahun 2019 memutuskan bahawa Tian Chua boleh bertanding dalam pilihan raya pada masa akan datang.

Mahkamah memutuskan bahawa ia dibuat berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan hukuman denda RM2,000 tidak akan menjejaskan hak atau menghilangkan kelayakannya sebagai ahli Parlimen.