PUTRAJAYA - Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor terkejut apabila terdapat enam calon menawarkan diri merebut kerusi yang disandangnya sejak empat penggal.
Bagaimanapun beliau berkata, ia adalah hak individu untuk mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Saya pun terkejut enam penjuru sebab sebelum ini hanya satu lawan satu, tapi tidak mengapa," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Kompleks Kejiranan Presint 9, dekat sini pada Sabtu.
Meskipun begitu, beliau mempersoalkan calon dari mana yang boleh memberi keselesaan kepada rakyat.
"Siapa yang boleh beri keselesaan kepada rakyat," katanya.
Parlimen Putrajaya menyaksikan pencalonan enam penjuru yang mana membabitkan BN, Perikatan Nasional (PN), PH dan Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding menggunakan atas nama dan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan dua Bebas.
Ku Nan bertemu Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH) dan Mohd Rosli Ramli (Pejuang).
Dua calon Bebas adalah Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi.