SUNGAI BULOH - Calon bebas yang akan menggunakan simbol buku, Nurhaslinda Basri, 33, tekad mahu menumbangkan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Sungai Buloh.
Beliau yang dikenali sebagai Sifu Linda dalam kalangan penduduk sekitar Sungai Buloh dan Kampung Paya Jaras berkata, menjadi satu-satunya calon wanita dalam kalangan enam calon lelaki tidak akan sesekali mematahkan semangatnya.
"Saya akui akan berdepan nama besar berstatus bekas menteri dan ahli Parlimen seperti KJ, ditambah dengan kawasan ini merupakan kubu kuat PKR memang orang cakap tak boleh menang... tapi saya ada cara efektif untuk berkempen, tunggu...,” katanya kepada Sinar Harian selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Kenanga, Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, U5 Subang Bestari pada Sabtu
Sifu Linda yang merupakan anak jati Kampung Kedondong Sungai Buloh berkata, dia akan membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk menceburi bidang keusahawanan.
"Saya berpengalaman dalam bidang pemasaran secara dalam talian dan akan gunakan kepakaran saya untuk membantu mereka menjadi usahawan dan itu adalah antara yang terkandung dalam manifesto saya.
"Tiada siapa yang taja saya, duit deposit RM10,000 saya bayar pakai duit simpan sendiri dengan niat untuk berbakti kepada masyarakat bila dipilih rakyat nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu seorang lagi calon bebas yang akan menggunakan simbol kunci, Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff, 62, mengakui akan memberikan tentangan habis-habisan kepada calon-calon yang mewakili parti politik.
"Saya tiada parti politik, tapi kalau rakyat pilih saya, saya akan pastikan mereka tidak kecewa kerana mereka adalah hero sebenar,” kata bekas ahli Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu.
Syed Abdul Razak sebelum ini pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan atas tiket Parti Gerakan pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14) namun tewas dengan majoriti 40,233 undi kepada Elizabeth Wong dari PKR.
Dalam pada itu, kerusi Parlimen Sungai Buloh bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru pada PRU15 kali ini.
Ketujuh-tujuh calon yang mengesahkan penyertaan mereka ialah Khairy Jamaluddin (BN), Datuk R Ramanan (PH-PKR), Mohd Ghazali Md Hamin (PN-Pas), Mohd Akmal Mohd Yusoff (GTA-Pejuang), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon Bebas, Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff serta Nurhaslinda Basri.
Pengumuman itu dibuat pada jam 11 pagi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Parlimen Sungai Buloh, Mohd Jusni Hashim di pusat penamaan calon Sungai Buloh di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.
Sebelum itu, kesemua calon tiba antara jam 8.30 hingga 8.45 pagi bersama penyokong dan pencadang masing-masing.