Penamaan calon terkawal, lancar seluruh negara: Bukit Aman

Iklan
Anggota polis menyusun penghalang di laluan masuk pusat penamaan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini antara penyokong-penyokong parti politik pada hari penamaan calon bagi Parlimen Kuala Nerus di Dewan Perdana, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus sempena PRU15 hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung di seluruh negara hari ini berjalan lancar dan terkawal sekali gus menunjukkan kematangan rakyat Malaysia dalam amalan demokrasi.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, dalam tempoh itu tiada sebarang provokasi dikesan berlaku di semua pusat penamaan calon (PPC) seluruh negara.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah tidak ada sebarang tangkapan dan provokasi dikesan. Rakyat Malaysia matang dan penuh berdisiplin,” katanya kepada Bernama hari ini.

Di KUALA LUMPUR, tinjauan Bernama mendapati keadaan di PPC Parlimen Batu, Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama terkawal dan tiada provokasi berlaku.

Iklan

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pemantauan mendapati kesemua penyokong parti yang hadir telah memberi kerjasama baik dengan mematuhi arahan ditetapkan.

"Sejak awal pagi, polis membuat sekatan jalan untuk mengelak penyokong daripada berhimpun serta menugaskan seramai 152 pegawai dan anggota di PPC bagi mengawal lalu lintas dan menjaga ketenteraman awam,” katanya.

Iklan

Situasi sama turut dilaporkan di dua PPC di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Parlimen Ampang dan Pandan.

Ketua Polis Daerah ACP Mohamad Farouk Eshak ketika ditemui mengesahkan perkara itu dan keadaan kekal tenteram sehingga tamat proses penamaan calon pada 10 pagi seperti dijangkakan.

"Semua penyokong parti yang hadir tidak mencetuskan sebarang provokasi dan mengikut tatacara arahan pihak berkuasa.

"Polis akan mengekalkan momentum seperti ini sehingga hari pengundian awal, 15 November dan hari pengundian pada 19 November nanti," katanya. ketika ditemui di PPC Parlimen Ampang, Dewan Dato Razali, di sini.

Di SELANGOR, tinjauan Bernama di Parlimen Sungai Buloh di Dewan Kenanga Pejabat Daerah dan Tanah Petaling juga tidak merekodkan sebarang insiden tidak diingini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, kerjasama baik telah diberikan dalam kalangan penyokong parti yang dianggarkan kira-kira 2,000 orang tanpa sebarang provokasi.

Katanya, sebanyak 27 pegawai dan 150 anggota polis telah ditempatkan di PPC tersebut bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon. - Bernama