KAMPAR - Kerusi Parlimen Kampar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Malim Nawar menyaksikan pencalonan adik-beradik mewakili Parti Warisan bertanding di situ.
Penyandang kerusi Malim Nawar, Leong Cheok Keng kekal bertanding di kerusi itu kali ini, manakala adiknya, Leong Cheok Lung bertanding di kerusi Parlimen Kampar.
Kerusi Parlimen Kampar menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara calon Warisan itu dengan calon Pakatan Harapan (PH), Chong Zhemin, Datuk Lee Chee Leong (BN) dan calon Perikatan Nasional (PN), Wong Oi Foon.
Pertembungan empat penjuru juga berlaku di kerusi Malim Nawar dengan penyandangnya, Cheok Keng akan menentang calon dari PH, V Bavani, Chin Woon Kheong (BN) dan Aemeera Najwa Syed Mohamed (PN).
Cheok Keng memenangi kerusi DUN berkenaan atas tiket DAP dengan majoriti 6,082 undi sebelum keluar parti menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Begitu juga bagi kerusi DUN Tualang Sekah yang turut mempertaruhkan empat calon iaitu Mohd Azlan Helmi Helmi dari PH, Datuk Abd Rahman Md Som (BN) dan Pazli Abdullah Sani (PN).
Satu lagi kerusi DUN di dalam Parlimen Kampar iaitu DUN Keranji mempertemukan tiga calon melibatkan Koo Haai Yen dari PH, Ng Wah Leng (BN) dan Foong Kar Sing (PN).
Pada PRU14, kerusi Parlimen Kampar, DUN Malim Nawar dan DUN Keranji dimenangi PH, manakala DUN Tualang Sekah dimenangi BN.