KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti sebanyak 52 lokasi panas di seluruh negara yang perlu diberi perhatian serius sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kesemua lokasi tersebut termasuk dalam 292 keseluruhan kawasan yang sebelum ini dikesan berlakunya insiden mengganggu-gugat ketenteraman awam.
"Cawangan Khas, Bukit Aman telah mengkaji dan menapis, sebelum mengenal pasti 52 kawasan panas yang harus diberikan tumpuan secara lebih tegas," katanya ketika melawat lokasi pusat penamaan calon, P121 Lembah Pantai di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, di sini pada Sabtu.
Acryl Sani berkata, lokasi panas itu adalah terma yang digunakan oleh PDRM untuk mengklasifikasikan kawasan tersebut sebagai lokasi yang mudah berlakunya insiden yang memecah keamanan dan mengganggu ketenteraman awam.
"Ia bukan hanya masalah yang membabitkan isu politik tetapi turut didorong masalah antara penduduk setempat di lokasi berkenaan seperti penduduk berebut tempat letak kereta, berebut kerusi ketika makan di gerai atau restoran serta masalah membabitkan perkauman," katanya.
Beliau berkata, meskipun masalah yang dijangkakan itu adalah masalah yang remeh, ia boleh menjadi satu masalah besar sekiranya tidak ditangani dari awal.
"Setakat ini berdasarkan dari tempoh pembubaran Parlimen, sebanyak 115 laporan polis berkaitan 24 insiden membabitkan pelbagai isu politik dilaporkan.
"Sehubungan itu, saya sudah mengarahkan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, membuat statistik harian bagi memaklumkan masyarakat bahawa kita lebih bertanggungjawab," katanya.