LARUT - Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak ambil hati sorakan parti lawan yang melaungkan kata 'pengkhianat' dan 'katak' semasa proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pejabat Daerah dan Tanah Selama di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, sorakan seumpama itu tidak menggambarkan makna sebenar kedudukan sokongan pengundi di kawasan itu kepada dirinya.
"Itu perkara biasa dalam pilihan raya. Sorakan itu tidak memberi makna kerana yang memberi makna adalah pengundi-pengundi.
"Bila saya bertemu dengan calon dan wakil calon dari sebelah sana, mereka peluk saya, ada yang bercakap perkara-perkara yang telah saya lakukan untuk mereka, menunjukkan mereka tahu jasa-jasa yang telah saya buat," katanya.
Sorakan katak, parti katak dan pengkhianat dilaungkan kalangan penyokong parti itu telah menghangatkan suasana di pekarangan luar pusat penamaan calon Parlimen Larut.
Provokasi tersebut bagaimanapun tidak menimbulkan kekecohan berikutan pemantauan dan kawalan ketat daripada polis.
Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, tindakan dilakukan parti lawan itu hanya menunjukkan keangkuhan dan kesombongan mereka setelah memperolehi kuasa dalam kerajaan.
"Kalau pun mereka mengatakan saya pengkhianat, mereka tidak sedar apa yang saya lakukan adalah untuk rakyat, bukan untuk diri saya.
"Mereka boleh berdiri hari ini, sombong, angkuh adalah kerana kuasa diberikan. Cuba kita lihat apabila kalah, mereka senyap sunyi semua," katanya.
Pada PRU15 ini, Hamzah yang mewakili Perikatan Nasional (PN) akan mempertahankan kerusi Parlimen Larut yang disandang sejak 2008.
Beliau bakal berdepan saingan empat penjuru dengan Mohd Shafiq Fhadly Mahmud yang mewakili BN, Zolkarnain Abidin daripada Pakatan Harapan(PH) dan Auzaie Fadzlan Shahidi mewakiki Gerakan Tanah Air (GTA).
Pada PRU14 lalu, Hamzah menang kerusi Parlimen Larut atas tiket BN selepas mengalahkan calon Pas, Abu Husin Mohamad dengan majoriti undi sebanyak 4,486.
Hamzah kemudiannya umum keluar dari UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2019.