KUALA LANGAT - Kira-kira 1,000 penyokong parti berkumpul di Dewan Sri Jugra, Telok Datok di sini pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Kuala Langat pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, proses penamaan calon berlangsung dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Iklan
Iklan
Menurutnya, seramai 159 anggota polis bertugas dibantu Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjaga keselamatan sepanjang tempoh proses penamaan calon.
"Jumlah penyokong parti yang hadir kira-kira 1,000 orang dan mereka mematuhi prosedur serta arahan yang ditetapkan oleh petugas keselamatan.
"Proses penamaan calon bermula jam 9 pagi tamat pada jam 12 tengah hari," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Enam calon disahkan bertanding bagi kerusi Parlimen P112 Kuala Langat.
Calon itu adalah Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohana Muniandy Rama (BN), Manivanan Gowin (PH), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah (Pejuang), Zanariah Jumhuri (Bebas) dan M Ganeskumar (PRM).