KOTA BHARU - #RasuahBusters ‘berkibar’ sempena penamaan calon di negeri ini pada Sabtu bagi menyeru rakyat mengundi calon berintegriti tinggi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Pengerusi #RasuahBusters Kelantan, Dr Abdul Karem Zaidan Ab Aziz berkata, mesej disampaikan melalui konvoi 80 motosikal yang menjelajah ke enam daerah bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang.
"Kami bermotosikal di sekitar pusat-pusat penamaan calon di Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan Bachok dengan membawa risalah #RasuahBusters, Satu Jari Bebas Rasuah.
"Dua matlamat utama menerusi jelajah ini adalah mengajak rakyat untuk beramai-ramai keluar mengundi dan kedua, mengundi calon yang menolak rasuah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.
"Untuk hari ini kita belum mulakan misi ini kerana memberi ruang kepasa perjalanan proses penamaan calon supaya berjalan lancar.
"Tetapi, setakat ini sudah ada empat calon yang kita ajak untuk melakukan ikrar bebas rasuah dan satu akan diadakan perjumpaan pada malam Ini (Sabtu) manakala tiga lagi, kita tunggu respons,” katanya.
Sementara itu, Dr Abdul Karem Zaidan berkata, mereka juga akan ditawarkan menjalani ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) bagi mengukur tahap integriti.
RBTag merupakan inisiatif pasukan #RasuahBusters bersama Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) bagi menilai berdasarkan data saintifik dengan kadar kebolehpercayaan sehingga 90 peratus.
Ujian tersebut mengukur 10 ciri integriti meliputi spiritualiti, manipulasi, egoistik, projeksi, oportunis, integriti, jati diri, patriotisme, individualistik dan ketidakselarasan.