SHAH ALAM - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Shah Alam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Azli Yusof menganggap tagline: ‘Ask Azli, Azli Peduli’ bertepatan dengan perjuangannya untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi penduduk kawasan tersebut.
Azli yang merupakan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor menjelaskan, terdapat lima fokus yang akan diberi perhatian iaitu kos sara hidup, pembangunan, banjir, kesesakan lalu lintas serta masalah lokal.
"Ask Azli, Azli Peduli bermaksud saya sentiasa bersedia mendengar dan mengusahakan apa sahaja masalah, aduan mahupun cadangan yang diajukan oleh warga Shah Alam untuk diangkat, diperjuangkan sehingga ada jalan penyelesaian.
"Saya mahu pembangunan dan masyarakat Bandaraya Shah Alam seimbang, bermaksud tidak ada rakyat kawasan ini yang ketinggalan. Kita juga ada beberapa perkara dan isu pokok yang akan diperjuangkan, terutama kos sara hidup,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon Parlimen Shah Alam pada Sabtu.
Sebagai rekod, Parlimen Shah Alam menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan kesemua calon merupakan muka baharu.
Sementara itu Azli menjelaskan, isu kos sara hidup menjadi fokus susulan telah memberi kesan bukan sahaja kepada golongan berpendapatan rendah (B40) malah dirasai oleh mereka yang berpendapatan sederhana (M40).
"Perkara (kos sara hidup) ini menjadi kegusaran kepada semua orang dan ahli-ahli PH akan perjuangkan sekali gus memastikan isu ini dapat ditangani dengan baik,” ujarnya.
Fokus isu lokal
Dalam pada itu Azli turut mengingatkan pengundi baharu berusia 18 hingga 21 tahun (Undi18) agar tidak mensia-siakan peluang untuk memilih pemimpin yang dirasakan layak memimpin negara pada PRU15.
"Kumpulan ini perlu sedar mereka adalah rakyat Malaysia yang diberikan hak untuk mengundi. Mereka mesti keluar mengundi dan tentukan sendiri masa depan negara dengan memilih kepimpinan bermaruah dan berintegriti,” katanya.
Mengenai tawaran yang diberikan kepada pengundi Shah Alam, Azli berkata, isu lokal seperti pembangunan serta kekurangan klinik kesihatan turut menjadi fokus beliau sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, kemudahan fasiliti kesihatan kerajaan perlu ditingkatkan ekoran penduduk Shah Alam semakin bertambah sekali gus memerlukan perhatian kerajaan.
"Penduduk Shah Alam semakin bertambah, Klinik Kesihatan milik kerajaan hanya ada dua iaitu di Seksyen 7 dan Sekyen 19.
"Daripada dapatan yang diperoleh, masyarakat di daerah ini berpendapat Klinik Kesihatan perlu ditambah supaya dapat mengimbangi kepesatan penduduk agar manfaat turut dirasai oleh semua orang,” jelasnya.
Selesai isu kesesakan lalu lintas
Selain itu, Azli turut menawarkan penyelesaian terhadap isu berkaitan pembangunan tidak seimbang yang berlaku di beberapa kawasan dalam Parlimen Shah Alam.
"Masih ada perumahan yang (ada) satu bilik, kawasan perkampungan di kawasan Padang Jawa, (perkampungan) di Jalan Kebun Bunga yang agak ketinggalan, sedangkan Shah Alam merupakan bandar raya.
"Jadi ini antara fokus yang saya cuba perjuangkan supaya pembangunan itu berlaku secara seimbang di Shah Alam.
"Seterusnya adalah isu kesesakan lalu lintas, contohnya di Jalan Guthrie menuju ke Batu Tiga yang sering menjadi rungutan masyarakat, persimpangan TTDI atau dikenali dengan ‘traffic light 199’. Selain itu ada lagi beberapa perkara yang bersifat lokal seperti tiada sekolah menengah,” katanya.
Tidak asing di Shah Alam
Meskipun merupakan muka baharu di Parlimen Shah Alam, namun Azli tidak menganggap perkara itu sebagai kekangan buatnya untuk menabur khidmat di kubu kuat PH.
"Saya muka baharu tetapi tidak asing di Shah Alam kerana saya menetap di sini sejak tahun 1985 dan telah lakukan kerja kebajikan bersama Khalid Samad selama tiga penggal dalam menyantuni rakyat.
"Saya juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis MBSA, nazir di Masjid Tun Uda selain imam di sebuah masjid di Seksyen 7. Maka ia bukan satu kekurangan.
"Kita yakin (menang) namun tetap akan bekerja keras dengan menyantuni seberapa ramai masyarakat agar mereka terus selesa dengan saya,” katanya.