30 penonton pengsan di konsert K-Pop Indonesia

Iklan
Kumpulan K-Pop, NCT 127. - Foto AFP

TANGERANG SELATAN - Persembahan pertama kumpulan K-Pop NCT 127 di Indonesia terpaksa dihentikan apabila 30 penonton jatuh pengsan.

Indonesia masih bersedih selepas 130 orang termasuk 40 kanak-kanak dilaporkan maut dalam insiden rempuhan di stadium bolasepak pada hujung bulan lalu.

Iklan
Iklan

Jurucakap polis, Endra Zulpan berkata, konsert kumpulan dari Korea Selatan yang berlangsung pada Jumaat lalu berhampiran Jakarta diadakan selama dua jam selepas penonton mula berasak-asak menghampiri pentas.

"Disebabkan insiden itu, seramai 30 penonton jatuh pengsan, kami terpaksa menghentikan konsert pada jam 9.20 malam (waktu tempatan)," kata Endra dan menambah mangsa telah pulih sepenuhnya selepas itu.

Iklan

"Kami kecewa dengan tindakan penonton lain. Kami turut memberi amaran supaya jangan menolak antara satu sama lain. Demi mendapatkan rakaman terbaik, mereka sanggup mengabaikan keselamatan orang lain," katanya.

Bagaimanapun, polis membenarkan penganjuran konsert sama pada hari Sabtu dan melarang anggota kumpulan NCT 127 mengedarkan hadiah kepada peminatnya selain mengasingkan penyanyi dan penonton.

Iklan

"Untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku lagi, kami menambah anggota paramedik dan petugas keselamatan pada hari kedua itu," kata penganjur konsert, Dyandra Global Edutainment menerusi ciapan di Instagram. - AFP