KANGAR - Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan meminta rakyat di kawasan Padang Besar memberi peluang dan sokongan kepadanya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dalam satu hantaran melalui Facebooknya, Zahida berkata, beliau bersedia berkhidmat kepada rakyat di kawasan Padang Besar dan mahu membawa suara mereka ke Parlimen.
"Saya Ketua Puteri UMNO dan BN dengan rendah diri memperkenalkan diri sebagai calon P001 Padang Besar. Dalam keadaan masih dalam edah, saya membataskan diri dalam berkempen demi mematuhi perintah syarak yang diajar kepada saya.
"Saya memikul amanah yang diberi parti untuk mengukuhkan bilangan kaum hawa dalam dewan pembuat dasar tertinggi negara iaitu Parlimen Malaysia. Ini bukan bermakna saya menjadi pejuang wanita semata-mata, ia adalah amanah membawa suara seluruh rakyat Padang Besar di mana sahaja saya berada.
"Saya insaf, perjalanan saya tidak akan ke mana-mana tanpa sokongan seluruh warga Padang Besar. Saya sedar ini masa untuk mengenal setiap segi mengenai keluhan, gaya hidup, makanan, budaya dan keperluan rakyat di sini (Padang Besar),” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Sabtu.
Menurut Zahida, keterbatasan yang dihadapi menyebabkan beliau perlu bergantung harap kepada jentera BN Padang Besar khususnya UMNO.
"Ajarlah saya, didiklah saya. Saya bergantung harap kepada seluruh jentera BN khusus UMNO terutama sekali rakan-rakan di cawangan, PDM (pusat daerah mengundi), juga penyelaras DUN (Dewan Undangan Negeri), seluruh kepimpinan dan jawatankuasa UMNO bahagian.
"Sayap-sayap wanita, pemuda dan puteri, tenaga dan penat lelah kalian adalah kekuatan saya. Tidak ketinggalan semua rakan komponen MCA dan MIC. Kekanda-kekanda dalam ‘team’ calon DUN BN dalam Parlimen Padang Besar, anda semua adalah sandaran dan rujukan saya.
"Seperti sebuah rumah, kekanda semua adalah tiang seri yang mengukuhkan sebuah rumah yang bernama jentera BN P001 Padang Besar. Kukuh dan kuatnya anda, kuatlah kami dalam menerima apa jua badai yang melanda,” ujarnya.
Zahida berdepan saingan lima penjuru dengan tentangan penyandang kerusi Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin (Bebas), Datuk Rushdan Rusmi (PN-Pas), Mohamad Saad @ Yahya (PH-Amanah) dan Ko Chu Liang (Warisan).