HANYA bersandarkan teknik lemparan yang dipelajari di media sosial YouTube, atlet Johor, Badrul Hisam Musa nyata tidak berdepan masalah mempertahankan pingat emas acara lempar cakera lelaki F12 (masalah penglihatan) pada temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022 pada Sabtu.
Badrul Hisam yang mengalami masalah rabun jauh sejak usia lima tahun akibat demam panas berkata, dia sebelum ini tidak ada masa untuk menjalani latihan gara-gara sibuk dengan kerja sebagai jurujual sepenuh masa di Klang, Selangor.
"Tiada latihan langsung apatah lagi mempunyai jurulatih. Saya sibuk kerja dari 10 pagi hingga 10 malam, nak ke gimnasium pun tak sempat.
"Saya hanya tengok video secara rawak di YouTube untuk mempelajari teknik lemparan sejak sebulan lepas, hari ini datang bertanding lempar sahaja," katanya kepada Bernama.
Badrul Hisam merekodkan lemparan sejauh 27.38 meter (m) untuk membawa pulang emas manakala pingat perak dimenangi Muhammad Zulhaziq Mohd Sallehin (26.05m) dari Pahang dan gangsa pula milik atlet Perak, Muhammad Afiq Hafizi Khairudin (25.05m).
Ini merupakan kemenangan ketiga buat atlet berusia 29 tahun itu pada Para Sukma selepas kejayaan dalam acara sama pada edisi 2016 di Sarawak dan edisi 2018 di Perak.
Pemenang pingat gangsa Sukan Para ASEAN (APG) 2011 di Indonesia itu, berkata kali terakhir beliau menjalani latihan sebenar ialah seminggu sebelum Para Sukma Perak pada 2018.
Dalam pada itu, Badrul Hisam yang juga pemain goalball berharap dapat membawa cabaran negara pada APG 2023 di Kemboja dalam acara lempar cakera selepas kali pertama dan terakhir beraksi di pentas antarabangsa pada edisi 2011.
"Saya juga main goalball untuk pasukan kebangsaan dan pernah menang emas dalam acara itu pada Sukan Para ASEAN 2017 di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, sudah lama saya tak sertai lempar cakera di APG, harap Majlis Sukan Negara dapat senaraikan saya di edisi Kemboja," katanya. - Bernama