ATLET angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat mempunyai misi menempatkan diri dalam kelompok 12 terbaik dunia sekali gus memperoleh slot beraksi pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Badang berusia 23 tahun itu berkata, beberapa kejohanan dunia yang juga pentas kutipan mata ranking kelayakan temasya berprestij itu akan disertai bermula dengan Kejohanan Angkat Berat Dunia di Colombia pada Disember ini bagi merealisasikan sasarannya itu.
Iklan
Iklan
"Catatan angkatan terbaik saya sekarang 316 kilogram (kg), 173kg dalam Clean & Jerk dan 143kg dalam snatch," katanya ketika dihubungi.
Ditanya sama ada jumlah angkatan dilakukan pada temasya Sukan SEA Hanoi, Mei lepas mampu melayakkan dirinya bersaing di pentas Olimpik, beliau optimis dapat memberikan saingan kepada pencabar lain.
"Berdasarkan prestasi, saya yakin boleh dapat capai sasaran ranking ke-12, namun untuk meraih kedudukan lima teratas di Olimpik sedikit sukar kerana atlet yang berada di ranking pertama dunia pun mempunyai rekod angkatan melebihi 199kg," katanya.
Anak kepada legenda angkat berat negara, Muhammad Hidayat Hamidon itu pernah mengharumkan nama negara sebelum ini selepas menghadiahkan pingat perak dalam kategori 73kg pada Sukan Komanwel, Birmingham 2022. - Bernama
Artikel Berkaitan