SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam muncul juara kejohanan bola sepak Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 tahun (B-18) selepas menumpaskan SMK Dato' Harun, Tanjong Karang 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti pada Sabtu.
Dalam aksi final di Stadium Mini KPM SMK USJ 23, Subang Jaya itu, Megat Aniq Muqri Megat Azlan muncul wira apabila menyempurnakan sepakan penalti terakhir SMK Shah Alam.
Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan SMK Shah Alam meraih gelaran berganda apabila muncul juara Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 selepas turut mengecewakan SMK Dato' Harun di pentas final pada Oktober lalu.
Jurulatih SMK Shah Alam, Mohamad Shahrul Hisham Khasim berkata, beliau tidak menyangka penyertaan pertama pasukannya dalam kejohanan tersebut berjaya diakhiri dengan gelaran juara.
Menurutnya, banyak cabaran yang perlu ditempuhi anak-anak buahnya termasuklah berdepan beberapa pasukan hebat dalam perjalanan mereka mara ke pentas final.
"Alhamdulillah dan terima kasih kepada pemain-pemain yang berjaya bermain dengan baik untuk memenangi perlawanan akhir ini. Sebenarnya kami tak jangka boleh mara ke final dan muncul juara.
"Ini kerana perjalanan kami untuk ke perlawanan akhir bukan senang. Kami perlu berjumpa bekas finalis kejohanan ini, antaranya SMK Tinggi Kajang dan SMK Seksyen 7 Shah Alam.
"Malah, pada final kali ini ramai meramalkan SMK Dato' Harun akan menjadi juara. Jadi, saya berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan dan membantu kami sehingga berjaya menjadi juara,” katanya.
Sementara itu, jurulatih SMK Dato' Harun, Zulfadhli Ali mengakui berasa agak kecewa selepas pasukannya terlepas peluang muncul juara pada edisi kali ini.
Menurut Zulfadhli, kegagalan bahagian serangan SMK Dato' Harun menyempurnakan beberapa peluang menyebabkan mereka terpaksa akur dengan gelaran naib juara.
"Kami bermain dengan baik apabila mengawal permainan dan mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol. Namun, kegagalan bahagian serangan menterjemahkan peluang itu menyebabkan kami tewas.
"Saya sudah dapat menjangkakan kalau perlawanan akhir ini ditentukan dengan sepakan penalti, kami akan tewas kerana penjaga gol kami tidak begitu cergas,” ujarnya.Selaku juara, SMK Shah Alam membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, trofi dan sijil, manakala SMK Dato' Harun pula meraih RM7,000, medal serta sijil.
Untuk rekod, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) merupakan penaja utama, manakala Sinar Harian adalah media rasmi bagi kejohanan yang memasuki edisi ketujuh itu.