PELAKON Datuk Fizz Fairuz bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang telah melemparkan fitnah dan mengaitkan dirinya dengan isu seorang lelaki bergelar Datuk Seri ditangkap khalwat bersama pasangannya di Pulau Perhentian, baru-baru ini.
Mengakui fitnah tersebut telah memberi impak yang buruk terhadap reputasi dirinya, Fizz atau nama Mohd Fairuz Zainal Abidin, 40, menerusi laporan sebuah akhbar memberi tempoh selama seminggu kepada pihak berkenaan untuk tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Sekiranya pihak tersebut masih berdegil dan gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil.
"Memandangkan saya masih ada pertimbangan, maka pihak berkenaan diberi ruang untuk membuat pertemuan dengan saya dan memohon maaf secara terbuka
."Saya sedia bertemu sekiranya mereka mahu memohon maaf, namun jika sebaliknya biarlah undang-undang yang tentukan," katanya sebagaimana dilaporkan.
Terdahulu Isteri Fizz, Datin Almy Nadia telah membuat kenyataan di Instagram miliknya menafikan penglibatan suaminya dalam kejadian tersebut apabila warganet di sebuah forum gosip menuduh dan mengaitkan individu bergelar Datuk Seri itu adalah suaminya.
"Mari kita tengok siapa menang game ni!!! Nak main-main kan dengan aku.. tunggu,” tulis Fizz pada posting di laman Instagramnya.
Rata-rata peminat dan pengikut Fizz turut menyatakan sokongan dan bersetuju dengan tindakan pelakon ini untuk menyaman mereka yang terlibat.