SHAH ALAM - Sebanyak 1,386 kertas telah dikemukakan daripada pelbagai individu dan parti semasa hari penamaan calon pada Sabtu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 945 kertas penamaan bagi kerusi Parlimen, 434 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tujuh bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya.
Iklan
Iklan
"Sebanyak enam kertas penamaan telah ditolak iaitu empat di kerusi Parlimen dan dua di Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Beliau juga berharap supaya calon yang bertanding dapat berkempen dengan suasana yang harmoni dan sentiasa mengelakkan ketegangan.
"Bahan kempen yang mengandungi perkataan-perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan,” jelasnya.
Abdul Ghani turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah terlibat dalam tanggungjawab memastikan kelancaran pada hari tersebut.