PRU15: Tiada jalan mudah bagi mana-mana pihak

Iklan
Debaran PRU15 kian terasa sejurus selepas penamaan calon diumumkan pada Sabtu. - Foto Bernama

DEBARAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kian terasa sejurus selepas penamaan calon diumumkan pada Sabtu.

Bukan sekadar itu sahaja, pilihan raya ini juga bakal dilihat sebagai satu penentuan paling sengit dalam sejarah negara memandangkan pertembungan pelbagai penjuru yang bukan sedikit bilangannya.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 82 daripada 222 kerusi Parlimen bakal mengalami pertembungan sebanyak empat penjuru, manakala 43 kerusi pula bakal menghadapi pertaruhan sebanyak lima penjuru dan 24 lagi bagi enam penjuru.

Bukan setakat itu sahaja, terdapat lima Parlimen lain yang menampilkan pertembungan tujuh penjuru, tiga lagi untuk lapan penjuru.

Iklan

Di kawasan Lembah Klang, terdapat dua Parlimen yang menampilkan bukan cuma, dua, tiga, empat, lima, enam, tujuh atau lapan sebaliknya sembilan dan 10 penjuru iaitu Ampang dan Batu.

Jumlah ini secara signifikan memberi isyarat kepada semua bakal ‘Yang Berhormat’ bahawa tiada jalan mudah untuk mereka memenangi pada ‘penentuan’ kali ini.

Iklan

Kebetulan pula, pada ‘penentuan’ kali ini menyaksikan kemunculan 10.8 juta pengundi daripada kalangan yang berumur 18 ke 39 tahun.

Jika ditelusuri, kelas umur ini antara yang terkesan dengan bermacam-macam isu atau konflik seperti kos sara hidup yang semakin meningkat, inflasi, bebanan hutang, kesukaran dalam pemilikan aset.

Seandainya kita letakkan diri di tempat golongan ini, pastinya harapan yang ingin diterjemahkan melalui ‘Yang Berhormat’ mereka bukanlah sedikit.

Kestabilan ekonomi, dasar-dasar jangka masa panjang yang dapat memberi keselesaan dan kemudahan serta banyak lagi antara perkara perlu diberi perhatian.

Tambahan pula, ramai dalam kalangan generasi itu tidak lagi mempunyai kecenderungan terhadap mana- mana parti sebaliknya lebih tertumpu kepada kualiti calon yang dipertaruhkan mereka.

Maka, mana-mana pihak yang ingin menerajui negara ‘diwajibkan’ membawa sesuatu dasar yang realistik kepada negara dalam manifesto mereka.

Tidak boleh lagi sekadar berjanji bulan bintang namun kesudahannya hanya berakhir dengan cakap kosong semata-mata.

Semoga PRU15 yang akan tiba tidak lama lagi akan menjadi satu sinar baharu buat masa hadapan negara.

Benar, kita hampir yakin ia belum tentu membawa sebuah perubahan drastik, namun suratan bagi orang yang terkehadapan, seribu batu perjalanan adalah bermula dengan satu langkah yang diazamkan.

Malaysia memilih, selamat berjaya.