Politik rasuah: SPRM perlu beri amaran tegas kepada calon

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memberi peringatan tegas terhadap semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum kali ke-15 (PRU15) agar tidak memberi sebarang jenis sogokan atau habuan kepada mana-mana pihak.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, calon dibimbangi akan menawarkan pelbagai jenis sogokan dan habuan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung demi mendapatkan sokongan daripada pengundi.

Iklan
Iklan

Beliau memberitahu, mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan sebarang salah laku rasuah ini sama ada calon yang bertanding ataupun pengundi perlu segera disiasat, ditangkap dan didakwa dimahkamah untuk diberi hukuman yang setimpal.

"Apa yang membimbangkan, ramai pihak akan mengamalkan salah laku rasuah sepanjang tempoh berkempen sehingga hari mengundi nanti. Calon yang bertanding dibimbangi akan menawarkan pelbagai jenis sogokan bagi meraih undi.

Iklan

"Oleh yang demikian, adalah penting pihak berwajib seperti SPRM mengambil segala langkah segera bagi memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang disyaki menawarkan atau menerima rasuah pada PRU kali ini," ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, tidak boleh ada sebarang kompromi atau belas kasihan dalam salah laku melibatkan rasuah.

Iklan

"Rasuah dalam apa-apa bentuk sekali pun perlu dibanteras dengan serius oleh semua pihak dan tidak boleh dibiarkan berlaku sekiranya ingin membersihkan negara daripada jenayah tersebut.

"Orang ramai juga perlu memberi kerjasama dengan SPRM untuk membendung aktiviti rasuah sepanjang kempen PRU15 dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat mana-mana pihak yang didapati menawar, memberi atau menerima rasuah berserta dengan bukti," ulasnya.

Beliau turut memberi penjelasan maksud rasuah iaitu memberi atau menerima suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi.

"Suapan di sini terdiri daripada penerimaan atau pemberian wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, diskaun dan lain-lain lagi," jelasnya.