SHAH ALAM - Sindiket yang terlibat dalam kedua tangkapan melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Selangor dalam minggu ini dipercayai tidak mempunyai hubung kait antara satu sama lain.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, siasatan awal mendapati dua tangkapan ini bukan terdiri daripada sindiket yang sama.
Menurutnya, setakat minggu ini sahaja pihaknya berjaya menahan dua bot dipercayai membawa PATI.
"Tangkapan dijalankan melibatkan sebuah bot membawa 44 PATI pada 31 Oktober lalu di perairan Tanjung Layang dan tangkapan pada 5 November melibatkan sebuah bot membawa 14 PATI termasuk tekong di perairan Kuala Selangor.
"Kita percaya kedua tangkapan ini melibatkan dua sindiket yang berbeza namun siasatan lanjut berkaitan kedua tangkapan ini masih lagi dijalankan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Katanya, pihaknya masih mengesan dalang di sebalik kedua kes tangkapan PATI ini.
Sementara itu, mengulas mengenai penugasan Maritim Selangor sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), jelas beliau, rondaan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
"Rondaan di perairan negeri ini akan dipertingkatkan bagi mencegah sebarang jenayah maritim termasuk melibatkan kemasukan PATI," katanya.
Jumaat lalu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, anggota dan pegawai Maritim Malaysia tetap fokus dalam aspek keselamatan perairan negara dan akan menjalankan tugas seperti biasa sepanjang PRU15.
"Anggota dan pegawai yang bertugas di luar kawasan undi semasa PRU15 akan membuang undi secara pos, manakala selebihnya mengundi seperti biasa," katanya.
Jelas beliau, Maritim Malaysia turut bersiap siaga melakukan tugas-tugas mencari dan menyelamat jika diperlukan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal melanda bermula 7 November hingga Mac 2023.