MELAKA - Dua remaja maut selepas motosikal ditunggangi bertembung sesama sendiri di Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini, pada awal pagi Ahad.
Kejadian jam 4.18 pagi itu menyebabkan Khairul Nizam Sham, 18, dan Muhammad Amirul Hadi Norizan,15, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian, Khairul Nizam yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dalam perjalanan dari arah Tanjung Beruas ke Tangga Batu.
Menurutnya, manakala Muhammad Amirul Hadi menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah bertentangan.
"Akibat pertembungan itu kedua-dua mangsa terjatuh dan disahkan meninggal dunia kerana mengalami cedera parah," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, mayat kedua-dua mangsa dibawa Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
"Kedua-dua kenderaan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.