RANTAU PANJANG - Seorang nenek berjalan kaki dalam gelap mengharungi banjir sedalam 0.5 meter sambil mendukung bayi berusia 19 hari di Kampung Bendang Perol, Gual To’Deh di sini pada Ahad.
Narizan Zakaria, 57, mendukung cucu lelakinya itu, Muhamad Aidel Rafael Muhammad Saiful Bahari sejauh 200 meter dari rumah hingga ke laluan utama pada jam 10 malam untuk dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh.
Ibu kanak-kanak itu, Zulkartini Hassan, 31, pula menaiki perahu melalui kebun kelapa sawit untuk keluar dari rumah mereka yang dinaiki air bermula pada Khamis lalu.
Narizan berkata, bomba terlebih dahulu sudah datang pada siang hari sama untuk menyelamatkan sembilan beranak di rumah itu, namun mereka menangguhkan perpindahan kerana masih banyak barangan yang perlu disimpan.
"Saya bimbang untuk bawa bayi lalu di kebun kelapa sawit kerana hari sudah lewat malam dan ambil keputusan membawanya melalui laluan tepi tali air bertemankan lampu suluh kecil.
"Bersama saya, anak perempuan berusia 23 tahun dukung anak lelakinya yang berusia 18 bulan dan dua lagi anaknya berusia lapan dan enam tahun turut berjalan kaki meredah banjir,” katanya ketika ditemui di PPS Gual To’Deh di sini pada Ahad.
Narizan berkata, Zulkartini dan bayi tersebut kemudian dibawa menaiki kereta sejauh 200 meter lagi ke PPS tersebut manakala dia terus berjalan kaki dan selamat sampai ke tempat sama.
Sementara itu, Zulkartini berkata, dia pulang ke kampung dari tempat tinggalnya di Dengkil, Selangor pada September lalu untuk bersalin dan berpantang anak sulung.
"Saya sudah menjangkakan rumah kami akan banjir kerana sudah biasa setiap tahun hujan dan banjir.
"Bulan Februari lalu paling teruk apabila air naik sehingga tiga meter menenggelamkan bumbung rumah,” katanya.
Setakat jam 1.30 petang pada Ahad, seramai lima keluarga melibatkan 17 mangsa dipindahkan ke PPS SK Gual To’Deh, di sini, sejak malam tadi.
Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok menghampiri tahap amaran iaitu 7.82 meter menyebabkan beberapa penempatan rendah mulai dinaiki air setakat jam 12.30 tengah hari, Ahad.