Bawa misi dari mahkamah ke Parlimen

Iklan
Ghazali

DUNGUN - Melihat senario politik semasa yang menyaksikan banyak perpecahan berlaku mendorong seorang pengamal undang-undang menawarkan diri menjadi calon bebas bagi merebut kerusi Parlimen Dungun dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ghazali Ismail, 49, membuat kejutan apabila memberi saingan kepada empat lagi calon yang bertanding di atas tiket pelbagai parti.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sudah tiba masanya rakyat memberi ruang kepada golongan profesional yang betul-betul layak untuk membawa suara mereka ke Parlimen.

"Kita berharap sangat mereka yang pergi ke Parlimen boleh buat kerja kerana asas Parlimen itu untuk menggubal dasar dan undang-undang.

Iklan

"Bila calon yang tiada asas latar belakang undang-undang mereka tidak mampu berbahas secara mendalam.

"Maka lahirkan undang-undang yang entah apa-apa seperti berlaku pada hari ini," katanya.

Iklan

Ghazali berkata, misi yang ingin dibawa adalah dari mahkamah ke Parlimen dan bukannya dari Parlimen ke mahkamah seterusnya ke penjara.

"Biar orang yang ada pengetahuan undang-undang bawa amanah rakyat dan saya sendiri sudah lebih 20 tahun mengamalkan undang-undang," katanya.

Walaupun tiada penyokong atau jentera parti, beliau tidak gentar untuk bertanding dan akan menggunakan media sosial sebagai platform.

"Kita tidak lihat kepada keyakinan tetapi bergantung kepada media sosial.

"Bebas punya ruang untuk dipilih kerana sengitnya parti-parti lain sekarang yang berlaku banyak perpecahan," katanya.

Parlimen Dungun bakal menyaksikan perebutan lima penjuru dalam PRU15 yang kini disandang Wan Hassan Mohd Ramli dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Mohd Johari Mohammad dari calon Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air mencalonkan Nuraisah Hasan.