BAYAN BARU - Penerimaan masyarakat terhadap Parti MCA dan BN semakin baik berbanding lima tahun lalu ketika parti itu bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dimenangi Pakatan Harapan (PH).
Sebelum ini, wakil BN dan MCA kerap dicemuh dan dihamburkan dengan kata-kata kesat setiap kali turun padang untuk mendekati rakyat.
Calon BN, Saw Yee Fung berkata, hasil daripada usahanya turun padang sejak Jun lalu, penerimaan rakyat setempat terhadapnya amat menggalakkan.
Yee Fung berkata, beliau diterima baik oleh penduduk Bayan Baru khususnya masyarakat Cina sejak mendapat mandat daripada MCA untuk menjadi penyelaras Parlimen Bayan Baru pada Jun lalu.
"Ini menunjukkan mereka mahu dengar apa yang kita nak cakap. Berbeza dengan lima tahun lalu, mereka terus 'halau' kami namun kini amat berbeza. Rakyat semakin berfikiran terbuka," katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan BN Parlimen Bayan Baru pada Ahad.
Dalam sidang akhbar yang sama, anak jati Pulau Pinang itu turut melancarkan 'Surat Terbuka Kepada Pengundi' yang diterbitkan dalam empat bahasa iaitu Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris.
Menurutnya, menerusi surat terbuka itu, beliau merayu kepada pengundi yang mahukan perubahan agar memberi peluang kepadanya untuk menjadi wakil mereka di Parlimen kelak.
"Walaupun saya muda dan kurang pengalaman, ia tidak mematahkan semangat saya untuk memberi tentangan kepada pemimpin yang lebih senior. Saya ada ideologi, perspektif dan idea yang lebih segar. Tidak semestinya saya muda, saya lemah.
"Saya sedikit pun tidak gentar untuk berhadapan dengan pihak lawan yang lebih senior, malah saya lebih teruja. Saya tidak mengamalkan politik kotor seperti kutuk mengutuk, memfitnah dan sebagainya.
"Apa yang saya nak praktikkan adalah politik yang aman dan bersih. Saya percaya setiap calon mempunyai kekuatan masing-masing," jelas beliau.
Yee Fung merupakan salah seorang calon termuda di Pulau Pinang bertanding pada PRU15 di Parlimen Bayan Baru yang memperlihatkan pertarungan enam penjuru.
Beliau bakal berentap dengan Ooi Chuan Aun dari Warisan, Ravinder Singh dari Parti Rakyat Malaysia (PRM), calon Bebas, Kan Chee Yuen, Sim Tze Tzin dari Pakatan Harapan dan Oh Tong Keong daripada Perikatan Nasional.