Pemandu teksi LTSM hanya peroleh RM30 sehari

Iklan
Khairuddin (kanan) mendengar permasalahan daripada pemandu teksi LTSM di Kuala Nerus pada Ahad.

KUALA NERUS - Nasib pemandu teksi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini cukup menyedihkan apabila kira-kira 55 pemandu hanya memperoleh pendapatan sekitar RM30 sehari.

Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi LTSM, Rustam Mokhtar berkata, masalah itu berlaku sejak pandemik Covid-19 apabila wujudnya semakin ramai pihak yang menawarkan perkhidmatan e-hiling.

Iklan
Iklan

"Masalah paling besar kami di sini ialah tiada penumpang kerana perlu bersaing dengan pemandu e-hailing walaupun harga kami tetap jika dibandingkan perkhidmatan lain.

"Saya bercadang pemandu e-hailing hanya mengambil penumpang di luar LTSM sahaja. Kami di pihak persatuan tidak menghalang rezeki masing-masing tetapi e-hailing jangan ambil di sini, biarlah di luar (LTSM),” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Iklan

Rustam berharap kerajaan dapat memberi inisiatif baharu untuk kebaikan pemandu teksi di LTSM berikutan pendapatan kumpulan itu terjejas dan ditambah pula tiada bantuan secara bulanan.

Jelasnya, masalah membelenggu pihaknya itu belum selesai hingga ke hari ini dan berharap ada pihak tampil membantu menyelesaikannya dengan segera.

Iklan

Sementara itu, calon BN Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali ketika mengadakan pertemuan dengan pemandu teksi di LTSM berkata, pihaknya akan melihat dan membantu permasalahan yang dihadapi pemandu dari segi bantuan bulanan tetap.

"Saya akan memastikan nasib pemandu teksi ini terbela dengan mendapatkan bantuan tetap secara bulanan kepada mereka.

"Saya juga percaya kerancakan pelancongan di Terengganu dapat membantu mereka memperoleh pendapatan lebih besar,” katanya yang akan memperjuangkan isu itu ke peringkat pusat jika menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).