SIMPANG RENGGAM - Datuk Hasni Mohammad mengakui lebih selesa untuk berdialog dengan masyarakat setempat daripada berdebat dengan calon-calon yang bertanding kerusi Parlimen Simpang Renggam.
Calon BN itu berkata, berdialog dengan kepimpinan di peringkat kampung dan daerah lebih bermanfaat dan itu lebih sesuai di musim pilihan raya ini.
"Saya rasa orang Simpang Renggam pun sudah tidak berminat hendak dengar (debat terbuka)," katanya ketika ditemui selepas mengadakan walkabout bertemu pengundi di Taman Desa Sejahtera.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung cabaran debat daripada calon Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik.
Pada Sabtu, Maszlee mencadangkan supaya diadakan debat dengan semua calon-calon di kerusi Parlimen Simpang Renggam.
Maszlee yang juga penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam mendakwa, cadangannya itu disambut baik oleh semua calon-calon ketika mereka bertemu di Dewan Muafakat, Majlis Daerah Simpang Renggam ketika penamaan calon pagi Sabtu.
Bagi tujuan itu juga, beliau turut berharap agar ada pihak yang sudi menyediakan platform supaya debat itu dapat diadakan secara langsung.
Sementara itu, Hasni berkata, pihaknya sudah biasa mengadakan sesi townhall dan perjumpaan dengan pentadbiran di peringkat daerah bagi mendengar permasalahan yang dihadapi.
Katanya, berdebat hanyalah untuk keperluan lain.
Ditanya mengenai dakwaan Maszlee apabila mengatakan beliau bersetuju untuk menyertai debat tersebut, Hasni berkata, perbualannya dengan Maszlee berhubung itu adalah dalam masa yang singkat dan tidak berfikir mengenai perkara itu.
"Setuju itu sebelum ini dalam bentuk macam mana.
"Dia bertanya 'Datuk kita nak berdebat'. Sebelum itu saya tidak fikir dia bertanya.
"Tetapi, dalam bentuk passing remark maybe dalam masa lain. Tidak perlu dalam waktu berkempen ini," katanya