GUA MUSANG - Pembangunan di Gua Musang harus seiring dengan pendapatan dan kemampuan penduduk kerana jika tersilap langkah ia akan menguntungkan pihak lain, kata calon Barisan Nasional (BN), Tengku Razaleigh Hamzah.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li berkata, kemajuan pembangunan itu adalah bersifat subjektif dan ia seharusnya dilihat kepada taraf hidup masyarakat di sesuatu tempat itu.
Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen paling lama daripada BN di kawasan itu berkata, terlalu banyak perubahan telah dilakukan BN jika dibandingkan seawal pembukaannya dahulu seiring dengan masa dan kemampuan rakyat.
Beliau berkata, antara pembangunan yang dilakukannya adalah mewujudkan Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang berfungsi untuk mengimbangi komposisi penduduk antara kawasan selatan dan barat, serta untuk membasmi kemiskinan penduduk.
Tengku Razaleigh melakar sejarah tersendiri apabila bertanding buat kali ke-13 pada Pilihan Raya Umum (PRU) selain mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana akan berdepan dengan calon lawan daripada Pas, Putra-Pejuang dan PH-PKR.
Pada PRU14, Tengku Razaleigh memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,913 undi menewaskan pencabarnya daripada Pas dan PKR. - Bernama