JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin Wilayah 2 (PPMW2) Mersing menahan dua lelaki warganegara Myanmar kerana disyaki terlibat menjalankan kegiatan mencari gamat dan melastik ikan secara haram di perairan Pulau Besar, Mersing, semalam.
Komander PPMW2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khoon Chiang berkata, penahanan suspek berusia 31 dan 34 tahun itu dilakukan di kedudukan 0.3 batu nautika dari Pulau Besar kira-kira jam 7.30 malam.
"Ketika ditahan kedua-dua suspek sedang menaiki sebuah bot fiber dengan kapasiti enjin 115 kuasa kuda.
"Pemeriksaan dalam bot berkenaan kemudiaanya menemui beberapa peralatan serta kelengkapan untuk aktiviti menyelam mencari gamat dan melastik ikan yang menyalahi undang-undang di bawah Akta Perikanan 1985," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Paul berkata, suspek dan barangan rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Taktikal Mersing untuk diambil keterangan sebelum diserahkan kepada penyiasat Jabatan Perikanan Johor.
Dalam masa sama, beliau berkata, pendedahan mengenai kegiatan haram itu berjaya dibongkar susulan kerjasama erat yang dilakukan bersama Cawangan Taman Laut Dan Pengurusan Sumber Jabatan Perikanan Negeri Johor.
"Polis dan beberapa jabatan ini mempunyai hubungan yang baik. Kami juga memandang serius berhubung tindakan tidak bertanggungjawab dilakukan individu ini yang mana melakukan pencerobohan kepada hasil Taman Laut Sultan Iskandar," katanya.
Katanya, kolaborasi berkenaan juga dapat membantu meningkatkan lagi penguatkuasaan undang-undang perairan sedia ada khususnya bagi kawasan diwartakan di bawah Taman Laut Sultan Iskandar.