KUALA LUMPUR - Satu kertas siasatan dibuka berhubung dakwaan seorang calon orang kurang upaya (OKU) yang tidak sempat menyerahkan borang pencalonan bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana terperangkap dalam kesesakan trafik di sekitar ibu negara pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, lelaki OKU penglihatan itu mendakwa dia terperangkap dalam kesesakan trafik berikutan penutupan beberapa jalan sempena hari penamaan calon.
"Siasatan dijalankan berhubung kenyataan dalam satu laporan akhbar tempatan mendakwa seorang OKU penglihatan tidak dapat masuk ke Pusat Penamaan Calon (PPC) Parlimen P 119 Titiwangsa untuk menyerahkan borang penamaan calon.
"Sehubungan itu, pada Ahad satu laporan polis telah dibuat oleh seorang pegawai kanan polis yang bertugas sebagai ketua pegawai zon di PPC P 119 Titiwangsa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu Sinar Harian melaporkan, OKU penglihatan, Habib Bourguiba Abd Hamid gagal menyerahkan borang pencalonannya selepas tidak dibenarkan masuk kerana lewat tiba ke PPC.
Habib, 53, berasal dari Kampung Datuk Keramat, di sini dilapor tiba di PPC Parlimen Titiwangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki pada jam 10.02 pagi, dua minit selepas proses penamaan calon ditutup jam 10 pagi.
Sehubungan itu, Ashari berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan individu berkenaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan yang boleh menimbulkan ketakutan atau kegentaran kepada awam).
"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan boleh berhubung dengan Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai berhampiran," ujarnya.