'Isham, Afif, Azli sama hebat, Rafique enggan mengalah'

Iklan
Dari kiri; Azli, Muhammad Rafique, Hizatul Isham dan Dr Afif.

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Hizatul Isham Abdul Jalil menjadi salah seorang calon taruhan BN untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun hakikat sebenarnya tidak mudah.

Beliau bertembung tiga calon parti lawan dalam pertandingan empat penjuru 19 November ini antara BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA) di kerusi Parlimen Shah Alam pada PRU15.

Iklan
Iklan

PN mempertaruhkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, manakala PH meletakkan Ketua Amanah Shah Alam, Azli Yusof dan GTA menamakan peguam parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali.

Melihat kepada empat calon terbabit, hanya Afif pernah dua penggal bertanding sebagai ADUN Seberang Jaya di Pulau Pinang manakala tiga lagi adalah muka baharu yang pertama kali masuk gelanggang pertandingan.

Iklan

Walaupun sebagai muka baharu, Isham merupakan nama besar dalam UMNO dan Azli pula merupakan Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang juga penyandang kerusi Parlimen Shah Alam.

Di atas kertas ketiga-tiga calon terbabit dijangka akan memberi saingan hebat antara satu sama lain namun Muhammad Rafique sudah pastinya tidak akan mudah mengalah tanpa memberi saingan.

Iklan

Calon GTA itu berkata, kesemua calon bertanding mempunyai peluang sama rata kerana Khalid sudah tiga penggal di kerusi Parlimen Shah Alam dan pengundi Shah Alam bakal mendapat seorang ahli Parlimen yang baharu.

Muhammad Rafique berkata, antara isu utama diperjuangkan ialah berkaitan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kadar gaji minima serta komuniti berdaya huni dari aspek keselamatan dan kebersihan bagi Bandaraya Shah Alam sebagai ibu negeri Selangor.

Selain itu, katanya, turut diberikan fokus ialah teknologi hijau dan mikromobiliti, pelan jangka masa panjang mitigasi banjir serta bertekad membawa kepimpinan bersih, cekap serta amanah dengan mengangkat pimpinan dari kalangan rakyat biasa.

Sebelum ini, penyandang kerusi Parlimen Shah Alam bertanding atas tiket Pas pada PRU12 dan PRU13 sebelum menang bergaya dengan majoriti 55,949 undi atas tiket PH pada PRU14.