SHAH ALAM - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Afif Bahardin menafikan beliau pernah melompat daripada parti itu untuk kekal berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Shah Alam itu berkata, beliau sebaliknya telah dipecat oleh PKR ekoran daripada pertelingkahan yang berlaku dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti itu.
Beliau berkata demikian ketika program Sinar Live bertajuk"YB boleh go ke? pada Ahad.
Pada Mei 2020, Afif merupakan antara 348 ahli PKR yang dipecat daripada parti itu susulan daripada peristiwa Langkah Sheraton yang menyebabkan kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.
Dalam pada itu, Afif yang merupakan calon daripada Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Shah Alam dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berkata, beliau tidak memperoleh sebarang keuntungan ekoran daripada peralihan tersebut dan hanya menjadi mangsa keadaan.
"Sebab itu pada akhirnya saya serah semula kepada pengundi di Seberang Jaya (ADUN) dan mereka menerima saya.
"Sehingga sekarang, Alhamdulillah orang di Shah Alam pun faham dan jelas. Mereka nak dengar apa yang ingin saya lakukan dan untuk warga Shah Alam dan apa yang saya nak buat untuk Malaysia pada masa akan datang,” ujar beliau.
Pada masa sama, Afif berkata, pada PRU15 kali ini, PN di peringkat nasional menawarkan kepimpinan yang bersih, stabil dan berintegriti kepada pengundi di dalam negara selain memfokuskan penyelesaian masalah semasa dihadapi rakyat.
"Saya sendiri secara peribadi pula akan meneruskan komitmen janji saya bukan sahaja untuk menyelesaikan kebajikan rakyat, tapi juga menyediakan dasar yang boleh membawa perubahan kepada kehidupan masyarakat yang berhadapan dengan pelbagai krisis ketika ini,” jelas beliau.