Mohamed Azmin diiringi isterinya, Shamsidar Taharin (kiri) hadir ke Pusat Penamaan Calon Parlimen Gombak di Dewan SMK Sungai Pusu pada Sabtu.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan
GOMBAK - Isteri dan anak-anak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hadir memberikan sokongan kepada calon Parlimen Gombak itu yang hadir pada Hari Penamaan Calon di Dewan SMK Sungai Pusu di sini pada Sabtu.
Mohamed Azmin yang segak berbaju Melayu biru hadir diiringi ratusan penyokong Perikatan Nasional (PN) sekitar jam 8.40 pagi.
Beliau sempat beramah mesra dengan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari serta Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN) ketika menunggu pintu dewan dibuka tepat jam 9 pagi.
Bagi Mohamed Azmin, lima calon bertanding di Parlimen Gombak dianggap suatu perkembangan yang positif, menzahirkan kematangan sistem demokrasi dalam negara.
"Saya harap kempen PRU15 akan berjalan dengan baik, memenuhi peraturan dan peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
"Saya yakin dan percaya, setiap calon akan menawarkan manifesto dan tawaran tertentu. Kita serahkan kepada rakyat Gombak untuk tentukan masa depan mereka.
"Sudah tentu saya meletakkan harapan yang tinggi, mudah-mudahan pengundi Gombak akan terus memberikan sokongan kepada saya untuk terus membangunkan Gombak," katanya.
Parlimen Gombak menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan Mohamed Azmin selaku penyandang kerusi tersebut bersaing dengan Amirudin (PH), Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir (GTA), Ir Zulkifli Ahmad (Bebas) dan Megat Zulkarnain (BN).