KUANTAN - Jabatan Kesihatan Pahang merampas 223 jenis ubat-ubatan dan produk kesihatan yang tidak berdaftar dianggarkan bernilai RM115,000 hasil Operasi Ubat Kuat di sekitar Bandar Kuantan, 7 Mac lalu.
Pengarahnya, Datuk Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata, melalui operasi itu, pihaknya melakukan serbuan dan pemeriksaan ke atas 13 lokasi sasaran termasuk premis perniagaan, stor, rumah kediaman dan kenderaan suspek serta gerai kaki lima.
Menurutnya, rampasan melibatkan ubat perangsang seks, steroid, produk kesihatan tidak berdaftar dan disyaki mengandungi racun berjadual.
"Operasi ini dijalankan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Pahang bersama Bahagian Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM), Cawangan Penguatkuasa Farmasi Terengganu dan Kelantan.
"Tujuannya untuk membanteras penjualan dan penggunaan ubat-ubatan tidak berdaftar dengan KKM khususnya ubat perangsang seks di sekitar bandar ini,” katanya.
Dr Sha’ari berkata, kesemua produk yang dirampas disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952.
"Bagi kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan bagi kesalahan pertama.
"Manakala kesalahan seterusnya hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Menurutnya, bagi kesalahan di bawah Akta Racun 1952, hukumannya denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.
"Justeru pengguna dinasihatkan supaya merujuk kepada pihak yang professional dalam penjagaan kesihatan sebelum menggunakan sebarang ubat-ubatan.
"Mereka juga dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan iklan atau testimonial di laman sesawang dengan tuntutan perubatan tidak munasabah,” katanya.
Beliau berkata, sebarang pertanyaan atau aduan berhubung penjualan ubat-ubatan, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Pahang di talian 09-5707737 atau menerusi laman sesawang pharmacy.gov.my.