PRU15: Peniaga kecil mahu nasib terbela

Iklan
Gambar hiasan 123RF

MELAKA - Peniaga- peniaga di Melaka berharap kerajaan dan ahli Parlimen baharu yang dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membantu golongan itu untuk lebih agresif meningkatkan perniagaan mereka.

Peniaga makanan di Ayer Keroh, Mohd Faizal Zulkifli,36, berkata, meskipun negara bergerak ke fasa endemik namun tempoh dua tahun ketika pandemik Covid-19 menyebabkan banyak peniaga terkesan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, terutama golongan yang baharu bernafas dalam bidang perniagaan sudah pasti sedikit sebanyak merasa 'sakit' jika tiada bantuan sebagai perangsang untuk terus bertapak dalam bidang itu.

Katanya, sekiranya kerajaan baharu memudahkan cara atau memberi kelonggaran dari segi pinjaman perniagaan pasti akan lebih melegakan.

Iklan

"Saya harap peniaga diberi peluang pinjaman perniagaan.

"Sebagai peniaga-peniaga kecil harap mendapat bantuan ataupun pinjaman kerajaan, malah bantuan-bantuan lain yang dirasakan perlu untuk peniaga terus bangun semula," katanya.

Iklan

Bagi peniaga kedai makan di pasar borong, Nurul Shahidah Zulkifli,32, berharap bukan sahaja bantuan seumpama itu diberikan perhatian malah infrastruktur membabitkan sistem saliran yang didakwa berlaku di Pasar Borang MBMB, Bachang, hingga menimbulkan rasa kurang senang peniaga dan pelanggan juga perlu diberikan perhatian.

"Kita dah pernah buat aduan beberapa kali namun sehingga sekarang belum diselesaikan.

"Harap kerajaan baharu nanti pandanglah masalah kami, bantu kami, bukan sahaja keselesaan peniaga namun pelanggan yang datang," katanya.

Manakala seorang peniaga nasi beriani, Ishak Ibrahim,61, turut mengharapkan nasib peniaga-peniaga kecil di kawasan berdekatan Dataran Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) MITC diberikan perhatian.

"Kebanyakan kami peniaga telah mohon lesen namun disebabkan status tanah kawasan ini menyebabkan sukar untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi kelulusan

"Bantulah kami dapat lesen sementara pun dah lega, sejak berniaga di sini, pelanggan pun ramai dan pendapatan juga memuaskan," katanya.